Kejujuran Asam
“ Asam..asam…adik nak beli asam?” tanya makcik gemuk bermata sepet tu sambil tolak troli sarat dengan asam, kacang2 serta cikedis. Makna cikedis boleh la disama ertikan dengan makanan ringan yg tiada zat nutrisi sama sekali. Hanya bahan untuk dikunyah semata2. Kesukaan para perempuan. Itu adalah salah satu contoh, malah ramai yg menjual pelbagai barang di pejabat. Ada yang menjual tudung, kasut, perfume, telefon bimbit dan yg paling besar saya pernah lihat adalah jual kereta.
Sumpah ada!
Kamu ingat pejabat kome ni pasar ke?
Paling saya impress adalah, wujudnya silent businessmen dalam pejabat. Pendek cerita, ada seorang penjual letak bakul berisi keropok dan nasi lemak di depan pantry. Saya menganggap penjualnya adalah makcik kerana kebiasaan makcik cleaner akan menjalankan perniagaan sebegini rupa. Biasalah usahawan glokal. Berbalik kepada cerita, ia adalah 100% layan diri. Harga diletakkan RM1 sebungkus. Letak duit dalam bekas disediakan. Bayar dan ambil baki sendiri jika perlu. Sos juga disediakan, jika mahu. Nak tisu, ambil di tandas.
Makcik itu memang tidak kelihatan langsung. Langsung. Sampai sekarang penulis kacak ini gagal mengesan siapa usahawan tersebut. Untuk memendekkan cerita, penulis cuma andaikan usahawan tersebut seorang makcik. Begitu percaya dan yakin makcik itu. Beliau percaya warga manusia semua ini adalah jujur. Lurus bendul barangkali. Ataupun beliau sendiri mmg bendul. Salah satu.
Kita selalu terpekik, melolong, dan marah. Menteri tidak jujur. Doktor tidak jujur. Hakim tidak jujur. Polis makan rasuah, tidak jujur. Artis kongkek sana sini, artis tidak jujur. Peniaga sorok beras, tidak jujur. Cikgu buat tuisyen, tidak jujur. Semuanya tidak jujur. Ada yang suarakan di kedai kopi dan tidak kurang juga di alam siber menerusi blog. Bila melayari blog salah seorang kawan penulis kacak ini yang bertajuk “anggaran berkurang, anggaran berlebihan”, dirasakan seperti dunia ni seluruhnya tidak jujur. Budak kecil, biasalah.semua mahu dikomenkan. Sebegitu kroniknya krisis kejujuran di masa kini. Sampaikan di negara ini perlu diwujudkan Pemantau Integriti Kebangsaan. Seperti pemantau maksiat yang suka mengambil video mangsa (dan siarkannya di Youtube) mungkin.
Seperti yg diketahui, manusia-manusia ini akan mengambil peluang jika mereka tahu tiada manusia lain nampak mereka mengambil peluang. Pantang tiada siapa yang nampak, alamat memang nampak terang2an warna sebenar mereka. Sebenarnya, ini bukan masalah rakyat negara kita sahaja. Ini masalah manusia kesemuanya. Masalah penulis. Masalah anda juga.
Kenapa, tidak percaya?
Kepada kamu yang menganggap diri kamu jujur dan layak mengutuk, mengkomen, serta mencaci orang lain yang kamu anggap tidak jujur, sila jawab soalan-soalan berikut dan nyatakan kepada penulis kacak ini sama ada kamu jujur atau tidak. Setidak2nya email penulis kacak ini, jika segan.
Kes 1
Tepat pada Pukul 3.48 pagi di persimpangan jalan. Lampu merah. Tiada polis. Tiada pegawai JPJ. Tiada kereta lain. Adakah kamu akan terus memandu?
Kes 2
Pernahkah kamu meniru dalam kerja rumah/assignment/peperiksaaan?
Kes 3
Sudah seminggu bos kamu cuti sakit. Adakah kamu akan berkerja sekeras sepertimana ketika dia berada di pejabat? Balik awal sedikit mungkin?
Jawablah sejujurnya. Kalau boleh, letakkan gambar Pak Lah ketika menjawab. Cuma Mungkin kamu takut sedikit untuk menipu. Cuma bayangkan pada masa itu beliau tidak tidur.